ASSB ADAKAN TAKLIMAT PASCA PENSTRUKTURAN TABUNG ASSAR
(Sumber dari Utusan Sarawak, 2 Julai 2024, 25 Zulhijjah 1445H, Selasa)
SESI taklimat pegawai ASSAR Bersama Ahli Majlis Bandaraya Miri dan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum di Miri.
KUCHING: Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB) mengadakan sesi taklimat mengenai pasca penstrukturan tabung Amanah Saham Sarawak (ASSAR) di bilik mesyuarat Majlis Bandaraya Miri (MBM), baru-baru ini.
Menurut kenyataan media ASSB semalam, program penglibatan komuniti ini menyasarkan penyertaan pemimpin komuniti setempat seperti ketua masyarakat dan ketua kaum serta Ahli MBM.
Program yang dianjurkan ini adalah hasil kerjasama dengan pihak MBM dan Pejabat Daerah Miri.
Menurut Pegawai Bahagian Operasi dan Pemasaran ASSB, Kadari Abang Abu Bakar dalam kenyataan sama, taklimat yang dianjurkan itu bertujuan menyampaikan maklumat terkini dan hala tuju serta hasil pencapaian pasca penstrukturan tabung ASSAR.
“Sejak pelaksanaan penstrukturan semula pada Oktober 2022, tabung ASSAR telah mencatatkan peningkatan konsisten Nilai Aset Bersih (NAB) tabung.
“Sebagai contoh, NAB pada 11 Jun 2024 adalah pada tahap RM1.12 seunit berbanding RM1.05 seunit pada 12 Jun 2023. “Selain itu, bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, tabung ASSAR berjaya mengagih dividen interim sebanyak 2.5 sen seunit dengan jumlah bayaran sebanyak RM11.71 juta kepada lebih 57,000 pelaburnya.
“Di samping itu, ciri jaminan harga minimum RM1.00 seunit masih lagi dikekalkan demi memastikan risiko modal pelabur ASSAR adalah terjamin dan tidak akan jatuh di bawah paras RM1.00 seunit sepanjang tempoh jaminan itu.
“Secara keseluruhannya, penstrukturan semula tersebut telah membantu meningkatkan potensi tabung ASSAR dengan menyediakan asas modal yang lebih tinggi bagi mencapai objektif pelaburan baharu.
“Ia berdasarkan kepada kerangka perumpukan aset dan strategi pelaburan yang mana sekurang-kurangnya 70 peratus NAB adalah untuk pelaburan di dalam sekuriti berpendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan/atau deposit manakala maksima 30 peratus NAB untuk dilaburkan di dalam pasaran ekuiti,” katanya.
Menurut beliau lagi, dengan ada program sebegini, ia dapat dijadikan sebagai platform khususnya kepada ketua komuniti untuk mendapatkan maklum balas, pandangan serta cadangan masyarakat setempat berkaitan pelaburan mereka kepada pihak ASSB.
“Lebih banyak program seumpama ini dirancang merangkumi beberapa bahagian dan daerah di Sarawak.
“Saya percaya, program sebegini mampu mengeratkan serta mengukuhkan hubungan antara pihak ASSB dan ketua komuniti yang telah terjalin sejak sekian lama terutamanya kerjasama serta bantuan yang diberikan dalam penganjuran aktiviti di kampung-kampung dan juga rumah panjang,” jelasnya.
Kadari turut mengambil kesempatan untuk memperingatkan pelabur yang belum mengemas kini maklumat seperti alamat, nombor telefon dan e-mel agar segera berbuat demikian bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan akaun pelaburan mereka.
“Mereka boleh mendapatkan borang kemas kini maklumat di kaunter perkhidmatan ASSAR atau menghubungi ibu pejabat ASSAR di talian 082-231433 atau 019-3461433 dan e-mel ke This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it ,” katanya.